Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaYayasan Sime Darby taja RM2.5 juta bantu Komited Malaysia

Yayasan Sime Darby taja RM2.5 juta bantu Komited Malaysia

KUANTAN, 31 Mei (Bernama) — Yayasan Sime Darby (YSD) mengumumkan penajaan RM2.5 juta bagi membantu meringankan beban kewangan Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia) yang mempunyai lima rumah perlindungan dan dua pusat persinggahan di Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD Dr Yatela Zainal Abidin berkata penajaan itu melibatkan kos penggajian kepada 40 pekerja pertubuhan berkenaan dan sewaan premis.

“Kami berharap dengan tajaan ini dapat membantu melancarkan operasi rumah perlindungan itu yang komited untuk mengubah kehidupan penghuninya malah berharap lebih banyak pihak tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di Rumah Rawatan dan Penjagaan Lelaki Casa Villa di sini hari ini.

Tajaan berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Helmy Othman Basha kepada pengasas dan presiden Komited Malaysia Khalid Hashim.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Sementara itu, Khalid berkata beliau berbesar hati dengan tajaan itu dan menganggap ia tepat pada masanya bagi memastikan kebajikan lebih 200 penghuni di rumah perlindungan pertubuhan itu terus terjaga.

Beliau berkata kira-kira RM3 juta diperlukan setahun untuk menampung kos operasi kesemua rumah perlindungan dan pusat persinggahan di bawah Komited Malaysia yang turut dibantu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Terima kasih kepada YSD yang tampil membantu kami dan sokongan pelbagai pihak lain serta kerajaan juga penting dan amat diperlukan bagi Komited Malaysia meneruskan kelangsungan, antara lain bagi memulihkan penagih dadah,” katanya.

Komited Malaysia ditubuhkan pada 1998 dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 2001 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah berkaitan penagihan dadah dan HIV/AIDS di Pahang, selain bermatlamat mengurangkan penagihan berulang.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular