info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

YDPA Berkenan Kurnia Rumah Pada Mangsa Banjir

42views

PEKAN, 12 Feb — Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada yang terjejas.

Baginda berangkat melawat tapak pembinaan dua rumah baharu masing-masing di di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong tiba di tapak rumah pertama di Kampung Tanjung Pulai kira-kira jam 4 petang disambut Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.

Baginda diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Dalam lawatan berkenaan, baginda turut berkenan mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai pembinaan rumah milik Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, itu.

Rumah setingkat yang dibina dengan kos RM100,000 itu dijangka siap dalam tempoh 16 minggu dan akan dibina dengan tiang setinggi 2.4 meter dari aras tanah supaya terhindar daripada banjir.

Sebelum ini rumah milik Mohd Khanafiah di kawasan berdekatan tapak pembinaan rosak teruk akibat arus kuat yang melanda kampung awal bulan lalu.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berangkat ke tapak rumah kedua di Kampung Sungai Ganchong, Acheh milik ibu tunggal, Norhasnah Mat Yunos, 60.

Baginda turut meminta kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan rumah berkenaan mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

Source Link