BeritaEkonomi

YTLPower International rugi bersih RM143.07 juta tahun kewangan 2021

KUALA LUMPUR, 8 Sept — YTL Power International Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM143.07 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM67.64 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Perolehan naik kepada RM10.78 bilion daripada RM10.64 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, YTL Power International berkata kerugian bersih pada suku keempat tahun kewangan 2021 meningkat kepada RM486.7 juta daripada RM140.78 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas walaupun perolehan naik kepada RM3.03 bilion pada suku tahun tersebut daripada RM2.29 bilion sebelum ini.

Katanya perolehan meningkat berbanding suku tahun sebelumnya disebabkan prestasi yang lebih baik dalam segmen perniagaan pelbagai utiliti (pedagang) serta air dan pembetungan.

“Kerugian selepas cukai pada suku tahun semasa disebabkan pengiktirafan perbelanjaan cukai tertunda susulan kenaikan kadar cukai syarikat United Kingdom (UK) daripada 19 peratus kepada 25 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2023,” katanya.

Mengenai prospek, YTL Power International berkata sebahagian besar perniagaannya tidak terjejas dan terus beroperasi sepanjang tempoh kawalan semasa berikutan sifat perniagaan utiliti sebagai perkhidmatan penting.

“Kumpulan menjangka prestasi segmen perniagaannya akan terus berdaya tahan berikutan sifat operasinya yang penting dan akan terus memantau risiko dan impak yang berkaitan kepada semua segmen perniagaan,” katanya.

Ia turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 2.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2021 yang akan dibayar pada 12 Okt, 2021.

Pada penutup hari ini, harga saham YTL Power merosot 0.5 sen kepada 71.5 sen sesaham dengan 1.25 juta saham bertukar tangan.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button