info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Zahid Dipanggil Beri Keterangan Berhubung Isu Perbekalan Kapal Tempur Pesisir Pantai

72views

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa saksi lain berhubung isu perbekalan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Prosiding yang akan disambung pada awal Januari, tahun depan itu antara lain bakal membabitkan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Turut tersenarai dipanggil, wakil Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) selaku kontraktor utama projek kapal LCS yang membabitkan peruntukan keseluruhan menjangkau RM9 bilion.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, menyifatkan isu perbekalan kapal LCS amat serius kerana ia bukan sekadar meliputi isu kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan.

Sebaliknya, beliau berkata, ia berupaya memberikan impak terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara.

“Justeru, PAC memutuskan untuk memanggil prosiding dan setakat ini, empat mesyuarat serta prosiding dengan saksi-saksi dipanggil.

“Antara yang dipanggil, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul, masing-masing pada 5 November serta 18 November lalu.

“Kita juga sudah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang pada 1 Disember lalu.

“Seterusnya, lima lagi saksi dibawa ke prosiding berkaitan isu kapal LCS yang dijalankan kali terakhir semalam, termasuk KSU Kementerian Pertahanan buat kali kedua,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Kah Woh berkata PAC akan mempercepatkan prosiding berhubung isu bekalan kapal LCS dan membentangkan laporan ke Dewan Rakyat supaya suatu penyelesaian bersifat tuntas berupaya dilaksanakan kerajaan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari tahun depan.

“PAC meletak sasaran laporan prosiding isu bekalan enam kapal LCS generasi kedua ini akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat pada sidang Parlimen, Mac tahun depan,” katanya.

Mengulas tiga pilihan penyelesaian berhubung isu LCS yang kini dalam pertimbangan kerajaan, Kah Woh berkata, PAC akan mengemukakan syor tersendiri berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan mempunyai hak untuk membuat pertimbangan terhadap cara penyelesaian isu LCS, memandangkan dua daripada enam kapal itu sepatutnya siap dan diserahkan kepada TLDM.

“Ketika prosiding, kita dimaklumkan mengenai opsyen yang dikemukakan kerajaan, tetapi itu keputusan dibuat kerajaan dan kami difahamkan kerajaan sudah mengarahkan proses ketekunan wajar dilakukan.

“PAC lebih cenderung terhadap isu berkaitan sistem perolehan, pengurusan kontraktor dan yang penting, hala tuju projek LCS,” katanya.

Source Link