Berita

Zizi Dikecam Kerana Berselawat

91views

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Bukan perkara mengejutkan apabila penyanyi berimej seksi, Zizi Kirana menyanyi dan mengalunkan selawat Qomarun atau Purnama bersama kumpulan UNIC.

Sebelum ini, Zizi atau nama sebenarnya, Nurfazelah Mad Tahil pernah mendedahkan dirinya seorang penyanyi nasyid di bangku sekolah dan pernah menjuarai pertandingan Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan, suatu ketika dahulu.

Selain itu, penyanyi lagu Nak Ke Tak Nak dan Eh itu pernah bergelar guru al-Quran di kampung halamannya di Semporna, Sabah, pada usia 17 tahun.

Diakui, ramai yang memuji suara dan cara Zizi mengalunkan selawat dan qasidah kerana sebutan bahasa arabnya yang cemerlang dan bagus.

Bagaimanapun, tidak kurang juga ada netizen yang mengecam Zizi apabila dilihat cukup bertentangan dengan penampilannya yang seksi dan menggoda dalam ruangan komen video selawat itu.

Zizi berkata, bohonglah jika tidak terkilan dengan kecaman netizen menerusi video selawat itu.

“Tidak dinafikan, saya berimej seksi, tetapi saya juga manusia. Saya tak kisah kecam dalam laman sosial saya, tetapi janganlah cakap bukan-bukan dalam video muzik selawat ini, tidak manis. Jika hanya membabitkan saya, mungkin saya tak ambil peduli.

“Saya rasa tidak sedap hati apabila kumpulan UNIC terpalit sama. Lagipun, penampilan saya video muzik ini bukan terdedah, saya pakai baju menutup aurat.

“Seperti yang selalu saya katakan, siapa mereka mahu menilai dan menghukum saya, hanya kerana penampilan diri. Namun, adatlah dunia hiburan, buat baik salah, buat jahat apatah lagi. Saya juga semakin lali dan sudah tiada perasaan apabila bertalu-talu dikecam.

“Mujurlah, anggota UNIC, Ustaz Fakhrul dan Bazli memberikan kata semangat. Biarlah orang nak kata apa, yang penting niat. Ustaz Fakhrul pun cakap, jangan ambil kisah apa orang cakap,” katanya kepada BH Online.

Zizi berkata, idea kerjasama terjadi secara spontan apabila dia bertanya mengenai sebutan qasidah dan selawat dengan Ustaz Fakhrul, akhirnya timbul pula idea bekerjasama.

“Saya bersyukur Ustaz Fakhrul dan Bazli memuji sebutan saya. Saya selalu percaya, kita kena teroka perkara lain dalam hidup ini. Ada kala perkara yang tidak dirancang, tetapi inilah yang berlaku.

“Cuma, saya sudah dapat mengagak pasti kena kecam apabila terbabit dengan projek ini. Saya minta kalau nak hentam, buatlah dalam ruangan lain, tak perlu di bawah video selawat ini,” katanya.

Sementara itu, anggota UNIC, Ustaz Fakhrul atau Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin berkata, kecaman bukan jalannya, sebaliknya mendoakan yang terbaik buat Zizi.

“Kita orang Melayu dan Islam ada adab. Adab dalam hal menegur dan menerima teguran, semuanya kena dengan cara berhemah. Kita tak tahu atas asbab doa, Allah angkat doa kita dan orang boleh berubah menjadi lebih baik, insya-Allah. Keluarga kita pun Allah pelihara daripada sebarang keaiban. Jadi, janganlah mengaibkan orang lain.

“Idea kolaborasi dicetuskan Zizi. Bagi UNIC, sesiapa pun artis yang ada idea baik dan memberi manfaat, kami sentiasa terbuka. Mungkin ada yang mempersoal kenapa Zizi dan bukan penyanyi lain kerana umum mengetahui cara dan gaya Zizi sebagai anak seni.

“Bagi saya dan Bazli, menghakimi orang bukan jalan terbaik. Kita harus terus mendoakan yang baik-baik. Kita pun ada anak, isteri, ibu bapa dan adik beradik. Adakah kita suka insan disayangi dihakimi? Saya percaya ramai yang tidak mahu perkara ini terjadi. Sekalipun tak suka, tak perlu menghakimi,” katanya.

Katanya, dia memuji kebolehan Zizi mengalunkan selawat, qasidah dan menyampai lagu berirama padang pasir.

“Walaupun Zizi seorang penyanyi rap, kebolehannya mengalunkan lagu kerohanian dan Asia Barat cukup terserlah. Sejujurnya, kami berterima kasih kepada Zizi kerana sudi mengajak kami bekerjasama,” katanya.

Source Link