BeritaEkonomi

Zuckerberg Nafi Facebook Abai Keselamatan Pengguna

SAN FRANCISCO, 6 Okt — Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg buat pertama kalinya menjawab beberapa berita negatif mengenai syarikat itu dengan berkata tuduhan bahawa ia meletakkan keuntungan melebihi keselamatan pengguna adalah ‘tidak benar’.

“Adalah sukar untuk melihat liputan yang tidak menggambarkan motif serta kerja kami. Pada peringkat paling asas, saya merasakan kebanyakan daripada kita tidak memperakui gambaran salah yang diberikan terhadap syarikat ini,” tulisnya dalam satu nota kepada kakitangan yang turut dikongsi kepada umum.

Ia berlaku selepas seorang pemberi maklumat yang juga bekas kakitangannya, Frances Haugen, memberi kenyataan pada pendengaran Senat mengenai pengalamannya di syarikat itu dan penyelidikan dalaman yang dikatakannya menunjukkan bahawa Facebook lebih mengutamakan keuntungan.

Haugen muncul pada rancangan ’60 Minutes’ malam Ahad lalu, dengan berkata Facebook membuat beberapa keputusan yang meletakkan kepentingan perniagaan melangkaui keselamatan pengguna.

“Ada konflik kepentingan antara apa yang baik untuk orang ramai dan apa yang baik untuk Facebook,” katanya.

“Facebook secara berterusan memilih untuk mengoptimumkan kepentingannya sendiri demi menjana lebih banyak wang.”

Zuckerberg menjelaskan, beliau terganggu dengan naratif bahawa Facebook tidak bimbang dengan keselamatan kanak-kanak.

Dua pendengaran Senat sejak seminggu lalu memberikan tumpuan kepada impak Facebook terhadap remaja dan kanak-kanak, termasuk testimoni oleh Haugen.

-Bloomberg

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button